Perkhemahan dan Program Jalinan Mesra Ibu Bapa 2015

Pada 23 dan 24 Januari 2015, SK Dato’ Abu Bakar telah mengadakan Program Perkhemahan dan Jalinan Mesra Ibu Bapa Bersama Guru-Guru Tahun 2015 di perkarangan sekolah. Program ini bermula dengan pendaftaran peserta yang hadir sebelum pembahagian kumpulan dilakukan. Sebanyak 3 kumpulan telah dibentuk pada program kali ini. Setiap kumpulan diwakili oleh murid-murid pelbagai aras kecerdasan dan guru-guru.

Taklimat aturcara program telah diberikan oleh Encik Muhammad ‘Aqil selaku ketua komandan perkhemahan ini. Aktiviti pertama iaitu, mendirikan khemah telah berlangsung dengan jayanya. Murid-murid membantu guru-guru mendirikan khemah kumpulan masing-masing. Setelah itu, murid-murid rehat dan makan tengah hari sebelum berjemaah Solat Zuhur oleh kerana tiada pelepasan diberikan untuk murid keluar bersolat Jumaat. Guru-guru lelaki pula keluar untuk bersolat jemaah Jumaat.

Aktiviti kedua, iaitu boling padang menyaksikan murid-murid bersemangat mengambil bahagian kerana aktiviti ini menawarkan hadiah. Walaupun ada murid yang tidak berupaya memegang bola dengan betul, sorakan dan teriakan kawan-kawan sekumpulan telah membangkitkan semangat juang untuk memberikan markah kepada kumpulan masing-masing.

Pertandingan futsal yang dijalankan juga menarik minat murid-murid. Walaupun pada permulaannya, guru-guru hanya menunjukkan cara bermain kepada murid-murid. Murid-murid kelihatan bersemangat untuk bertanding sebelum pembahagian kumpulan diadakan lagi. Selesai pertandingan ini, murid-murid diberikan waktu rehat untuk minum petang dan mengerjakan solat Asar.

Aktiviti malam dimulai dengan kuliah Maghrib sebelum solat berjemaah.  Murid-murid bukan beragama Islam menyertai aktiviti pendidikan moral untuk mengisi masa yang terluang. Selesai solat Isyak, murid-murid dibenarkan pulang bersama ibu bapa mereka.

Hari kedua perkhemahan ini  dimulai dengan senam robik. Murid-murid kelihatan bersemangat sekali untuk melakukan aktiviti ini. Aktiviti ini dijalankan di dalam dewan sekolah.

Selesai bersarapan, murid-murid mengikuti aktiviti sukaneka. Murid kelihatan riang dan tidak sabar-sabar lagi untuk mengambil bahagian kerana mereka telah dimaklumkan mengenai hadiah yang bakal diperolehi jika memenangi acara sukaneka ini.

Selesai acara sukaneka, murid-murid kembali ke dewan untuk sesi penyampaian hadiah. Riak wajah murid yang memenangi acara yang dipertandingkan amat gembira sekali. Para guru dan ibu bapa juga tidak terkecuali menerima hadiah bagi pertandingan yang diwakili.

Program Perkhemahan dan Jalinan Mesra Ibu Bapa Bersama Guru-Guru ini telah mencapai objektif yang digariskan sesuai dengan matlamat yang diinginkan. Ianya juga telah meningkatkan kerjasama bukan sahaja dikalangan murid-murid tetapi juga dikalangan guru-guru dan ibu bapa / penjaga murid di sekolah ini. Diharapkan pada masa hadapan, aktiviti seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi sekolah.